Warga Emas Cedera Terkena Mercun 'Along'

Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 6:27 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan selepas terkena letupan mercun yang dibaling sekumpulan lelaki dipercayai along ke arah rumahnya di flat Jalan Tengah Bayan Baru, awal pagi Ahad. 

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa Zaoyah Mamat, 67, mengalami kecederaan di bawah leher, muka dan mata akibat serpihan kaca dari cermin tingkap nako yang pecah disebabkan letupan mercun itu. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Him berkata mangsa yang tinggal di rumah itu bersama keluarga anak lelakinya, telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Anak lelaki mangsa memaklumkan semasa sedang tidur tiba-tiba terdengar bunyi orang membaling sesuatu ke arah  biliknya dan dalam masa yang sama ternampak api sedang terbakar di bahagian tingkap bilik.

"Lelaki itu cuba memadamkan kebakaran tersebut bagaimanapun tiba-tiba berlaku letupan sehingga memecahkan beberapa keping cermin tingkap nako hingga mencederakan ibunya," katanya kepada pemberita.

Lai berkata menurut beberapa penduduk di kawasan berkenaan, mereka ternampak tiga lelaki berusia lingkungan 20-an menaiki dua motosikal telah membaling mercun ke arah bilik rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah.

Katanya siasatan lanjut polis tidak menolak kemungkinan ia dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pinjaman wang yang dipinjam anak lelaki mangsa, berusia 50 tahun itu.

"Anak lelaki mangsa yang merupakan pembantu operasi di sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan, meminjam wang dengan sebuah syarikat pemberi pinjaman sebanyak RM3,000 empat tahun lepas dan dikehendaki membayar semula pinjaman sebanyak RM18,000," katanya. 

Beliau mendakwa lelaki itu juga pernah diugut dan turut menerima surat amaran. 

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tags / Kata Kunci: Baling mercun , Along

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan