Warga Myanmar Maut Ditikam Pada Majlis Hari Jadi - Berita Jenayah | mStar

Warga Myanmar Maut Ditikam Pada Majlis Hari Jadi

Diterbitkan: Sabtu, 22 Ogos 2015 8:40 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang warga Myanmar maut akibat ditikam rakannya di rumah sewa mereka di Taman Sri Bahagia, Larkin awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, mangsa yang dikenali sebagai Win Ko, 28, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah pada kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu.

Beliau berkata, mangsa merupakan pekerja kedai aksesori kereta yang tinggal di bahagian atas rumah kedai berkenaan.

"Win Ko dan beberapa rakannya dikatakan meraikan majlis hari jadi di rumah itu sebelum dia dan seorang rakannya bergaduh di ruang tamu ketika kesemua mereka dalam keadaan mabuk," katanya menerusi satu kenyataan.

Sulaiman berkata, pergaduhan itu kemudian dapat dileraikan namun rakan mangsa itu datang semula ke ruang tamu kira-kira setengah jam kemudian dengan bersenjatakan pisau lalu menikam mangsa.

Sulaiman berkata, mangsa kemudiannya berlari ke tingkat bawah premis itu untuk meminta pertolongan, namun dia rebah sejurus tiba di hadapan kedai aksesori kereta.

Katanya, polis kemudiannya menahan 12 rakyat Myanmar yang berada di rumah itu bagi membantu siasatan. 

Beliau berkata, pihak polis percaya motif utama kejadian adalah berpunca daripada perasaan marah dan mabuk.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan