Ditahan Sejurus Selepas Pecah Rumah

Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 4:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang lelaki tidak sempat 'menikmati' hasil samun apabila ditangkap sejurus selepas melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek ditahan pada pukul 5.30 petang semalam, di sebuah restoran berhampiran Jalan Tun Ismail di sini, selepas memecah masuk sebuah bilik sewa di tingkat atas restoran itu.

"Suspek yang berusia 29 tahun itu terkejut dengan kehadiran polis dan cuba melarikan diri, tetapi dapat ditangkap selepas berlaku pergelutan.

"Polis turut merampas satu beg berwarna hitam, sebuah komputer riba jenama Lenovo, satu 'powerbank'dan sebuah 'USB power adaptor' bersama kabel," katanya di sini, Jumaat.

Abdul Aziz berkata ujian air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata polis menahan tiga lelaki dan dua wanita dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Kuantan semalam kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata dua suspek lelaki berusia 21 tahun ditahan pada pukul 10.45 pagi di sebuah rumah di Jaya Gading di sini, hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan.

"Pemeriksaan menemui satu paket plastik berwarna biru mengandungi 180 biji pil kuda dan 20 biji pil lagi dalam genggaman suspek, selain satu keratan plastik lutsinar berisi sebiji pil kuda di sebuah bilik rumah itu," katanya.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 35 tahun pula ditahan di stesen minyak di Tanjung Lumpur, pada pukul 3.15 petang kerana memiliki dua keratan penyedut minuman mengandungi serbuk putih dipercayai dadah dalam poket seluarnya.

Sementara itu, dua wanita berusia 21 dan 32 tahun ditahan di sebuah hotel bajet dekat Jalan Bukit Ubi di sini, pada pukul 4 petang, juga atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, Abdul Aziz berkata polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun pada pukul 5.15 petang semalam kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.-- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan