Lelaki Somalia Maut Jatuh Dari Tingkat Tujuh Kondominium - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Somalia Maut Jatuh Dari Tingkat Tujuh Kondominium

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 7:32 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Somalia maut selepas jatuh dari kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata Hussein Mohamed Rabi, 44, dikatakan jatuh dari balkoni di kediamannya yang terletak di tingkat tujuh kondominium itu pada pukul 4.55 petang.

Mangsa, yang dilaporkan pernah mendapat rawatan sakit mental, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala serta patah anggota badan, katanya kepada Bernama di sini, Rabu malam.

"Menurut saksi, mangsa pernah menerima rawatan sakit mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada penghujung tahun lepas dan tidak mengambil ubat setelah ubat yang dibekalkan doktor telah habis," katanya.

Zainol berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke HKL untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa menetap bersama adiknya sejak tujuh tahun lalu di kondominium itu.

Sementara itu, menurut seorang saksi kejadian, yang hanya mahu dikenali Zulkifeli, 41, ketika kejadian dia sedang menghantar majikannya di kondominium itu sebelum mendengar bunyi kuat seperti dentuman kereta merempuh tembok batu.

"Saya mencari punca bunyi itu, namun sangkaan saya meleset apabila melihat sekujur tubuh terlentang di atas lantai dengan bahagian otaknya bersepai," katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan