Lelaki Dengan Sembilan Rekod Jenayah Lampau Cedera Ditembak

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 2:22 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, cedera di lengan kiri selepas ditembak berhampiran sebuah restoran di Jalan Persiaran Nagasari, Seksyen 36, Desa Latania di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa, M. Vickneswara Rao, 26, bersama dua lagi rakannya sedang berjalan menuju ke pikap jenis Toyota Hilux selepas selesai menjamu selera di restoran berdekatan, sebelum didatangi seorang lelaki bertopi keledar.

Shafien berkata suspek secara tiba-tiba melepaskan satu das tembakan mengenai lengan kiri mangsa ketika dia berada di bahagian pemandu kenderaan berkenaan.

"Suspek melarikan diri dengan sebuah kereta disyaki Proton Wira Aeroback sejurus melepaskan tembakan, manakala rakan mangsa bertindak menghubungi polis," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Shafien berkata mangsa yang sudah berumah tangga dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk rawatan.


Beliau berkata polis menemui satu kelongsong peluru jenis Luger AP 15.9mm berwarna perak di tempat kejadian dan motif kejadian masih disiasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, katanya.
Tags / Kata Kunci: rekod jenayah , Shafien Mamat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan