Dua Lelaki Bersenjata Parang Larikan Barang Kemas

Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 5:11 PM

Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Dua lelaki bersenjatakan parang, merompak sebuah kedai serbaneka milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera di sini semalam dan melarikan pelbagai barang kemas bernilai RM30,500.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar penuh, penutup mulut dan sarung tangan masuk ke dalam kedai berkenaan.

"Sebaik masuk ke dalam kedai, seorang daripada lelaki berkenaan bertindak mengacukan sebilah parang ke arah staf kedai yang berada di kaunter juruwang premis berkenaan, manakala seorang lagi menuju ke bahagian ruang pameran yang menempatkan barang kemas.

"Lelaki itu bertindak mengetuk bekas pameran kaca itu dengan sebilah parang sehingga pecah dan terus mengambil barang kemas dan mereka melarikan diri dengan meniki motosikal jenis Yamaha LC 135 warna hitam dengan nombor pendaftaraan PLP 6757," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Beliau berkata sebanyak tujuh utas rantai leher dan lima utas rantai tangan emas bernilai RM30,500 berjaya dilarikan dua lelaki berkenaan.

Azmi berkata ketika kejadian terdapat dua pekerja wanita bagaimanapun mereka tidak dicederakan dalam insiden berkenaan.

Katanya siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaraan palsu.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Tags / Kata Kunci: LTAT , Barang Kemas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan