Dua Lagi Pusat Tahanan Sementera Bakal Dibina Di Sabah - TPM

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 4:41 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Jumaat. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pusat tahanan sementara (PTS) bernilai RM50 juta akan dibina di Tawau dan Lahad Datu, Sabah bagi menampung peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keputusan itu antara yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah hari ini, selepas memperhalusi cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing di negeri tersebut.

"Empat PTS sedia ada di Sabah sedang menampung kira-kira 6,000 Pati dan kita akan bina dua lagi PTS iaitu di Tawau dan Lahad Datu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta beberapa pegawai kanan kementerian dan kerajaan Sabah.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata antara cadangan RCI yang turut diambil kira ialah penguatkuasaan sistem biometrik atau pengesanan cap jari individu di 10 pintu masuk dan keluar negara di Sabah.

Ahmad Zahid berkata tindakan itu diambil bagi mengenalpasti serta memastikan Pati yang dihantar pulang ke negara asal disenaraihitamkan daripada memasuki kembali negara ini.

"Ini bertujuan menentukan Pati tidak menggunakan dokumen palsu atau menggunakan dokumen yang dipunyai orang lain tetapi menukar butiran untuk kegunaan diri sendiri.

"Dan kita merasakan bahawa Pati yang ada dalam PTS juga (perlu) diambil cap jari kerana apabila mereka dipulangkan ke negara asal dengan kerjasama kedutaan atau konsul-jeneral di Sabah, kemasukan mereka semula secara haram akan dapat dipantau melalui sistem ini," katanya.

Jawatankuasa induk itu mempunyai 12 anggota termasuk pengerusi bersama iaitu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah yang akan bermesyuarat tiga bulan sekali sama ada di Sabah atau di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai operasi khas mengesan dan menahan Pati di Sabah yang bermula awal tahun ini, Ahmad Zahid berkata ia masih diadakan setiap hari.

Sehingga hari ini, katanya, lebih 3,000 Pati telah disenaraihitamkan iaitu 2,057 orang dari Filipina, 440 orang dari Indonesia manakala 517 lagi dari negara-negara lain. 

Timbalan Perdana Menteri berkata Pati yang ditahan akan diberi dokumen perjalanan satu hala untuk pulang ke negara asal secara berperingkat.

Dengan langkah agresif yang diambil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, Ahmad Zahid berharap tidak timbul lagi isu pengundi hantu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu untuk membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Mengulas mengenai peningkatan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap Dua oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, beliau berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu itu.

"Kami sudah mengambil langkah mengikut senarai semak yang disediakan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Saya telah berjanji dalam tempoh 18 bulan, kami akan dapat memenuhi segala keperluan itu.

"Tapi kita sudah melakukannya dalam tempoh kurang daripada 18 bulan. Ini membuktikan betapa cekapnya kita," katanya lagi.

Laporan tahunan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS itu menyenaraikan kedudukan 188 negara dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan memberikan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.

Ditanya mengenai keyakinan kerajaan persekutuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam laporan itu, Ahmad Zahid optimis ia mampu dilakukan.

"Saya yakin kita mampu mengekalkannya kerana kami di KDN dan PDRM percaya bukan hanya untuk mengekalkan keyakinan yang diberikan, tetapi memperbaikinya.

"Kita juga akan mempunyai garis panduan untuk meningkatkan sistem yang bukan hanya bersandar kepada mereka tetapi juga KPI (Indek Penunjuk Prestasi) kami sendiri," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , Pati , RCI

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan