Polis Rekod Keterangan Lapan Lagi Pelajar Bantu Kes Pukul Junior

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 6:16 PM

Mior Faridalatrash Wahid

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis mengambil keterangan lapan lagi pelajar bagi membantu siasatan kes murid Tingkatan Satu yang mendakwa dipukul senior asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Masjid Negeri, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, lapan pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini pada Selasa dan Rabu.

"Sehingga hari ini, polis telah merekodkan keterangan 13 pelajar iaitu lima pada Isnin dan lapan lagi semalam serta hari ini. Proses merekod keterangan akan diteruskan esok.

"Siasatan kes itu masih dijalankan dan kami percaya kertas siasatan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat untuk diserah kepada Bahagian Perundangan sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Dalam kejadian malam Rabu lepas, seorang pelajar lelaki yang juga adik  seorang pelakon wanita, bersama 16 rakannya yang baru pulang membeli makanan, dikatakan dimarahi sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.

Selain dimarahi, pelajar Tingkatan Satu berkenaan mendakwa dipukul sehingga lebam di beberapa bahagian badan kerana keluar daripada asrama tanpa kebenaran.

Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Datuk Osman Hussain ketika dihubungi berkata empat pelajar Tingkatan Lima yang terlibat dalam kejadian tersebut telah dibuang asrama bagi mengelak kejadian sama berulang.-- BERNAMA


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan