Pelajar Terbabit Dadah Di Kelantan Membimbangkan - Wan Junaidi

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 10:05 PM

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membenteras Dadah Negeri Kelantan pada Isnin. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Penglibatan pelajar sekolah dengan dadah di Kelantan membimbangkan apabila seramai 250 pelajar seawal usia 12 tahun dikesan positif dadah sejak tahun lepas hingga kini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata mereka yang kebanyakannya pelajar sekolah menengah adalah daripada 5,200 pelajar yang menjalani ujian saringan air kencing kerana disyaki terlibat dengan dadah. 

"Jenis dadah yang diambil pelajar terbabit ialah pil kuda, heroin dan air daun ketum," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan 1/2015 di sini, Isnin. 

Wan Junaidi berkata belia yang tidak bekerja dan pelajar yang telah berhenti sekolah dikesan menjadi pengedar dadah kepada kalangan pelajar selain dadah mudah diseludup dari negara jiran dengan harga murah.

Beliau berkata Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis telah mengenalpasti kira-kira 100 buah sekolah di negeri ini untuk dipantau secara rapi bagi membanteras gejala dadah di kalangan pelajar.  

Katanya kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk mencari mekanisme yang berkesan untuk membanteras gejala tersebut.

Beliau berkata AADK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan telah menganjurkan kempen kesedaran bahaya dadah dan membenci dadah melibatkan 130,000 pelajar di negeri ini sejak awal tahun ini.

"Di negeri ini terdapat kira-kira 340,000 pelajar sekolah menengah danrendah yang perlu diberi kesedaran tentang bahaya dadah, oleh itu semua pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat perlu mengiatkan peranan untuk membanteras gejala ini," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata majoriti penagih dadah di negeri ini berusia antara 19 dan 30 tahun.

Ditanya cadangan untuk membina tembok atau pagar sepanjang 95 kilometer Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand di Kelantan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, Wan Junaidi berkata kerajaan belum membuat keputusan.

Tags / Kata Kunci: Pelajar sekolah Kelantan , Dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan