Kedutaan Hubungi Polis Indonesia Berhubung Kes Culik Ahli Perniagaan Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 8:48 PM

Zahrain Mohamed Hashim

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia telah menghubungi pihak berkuasa Republik Indonesia bagi mendapatkan maklumat rasmi berhubung kes penculikan dan peras ugut terhadap ahli perniagaan Malaysia, Sahlan Bandan dan lima anggota keluarganya di sini baru-baru ini.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, setakat ini kedutaan tidak menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung kes culik itu dan hanya mengikuti perkembangannya menerusi media-media tempatan.

"Kita berharap pihak polis Indonesia dapat memberi maklumat mengenai kes culik dan peras ugut itu dan kita menyerahkan kes itu untuk disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap polis republik itu.

Setakat ini pihak berkuasa dilaporkan telah menahan enam lelaki termasuk dua anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang terbabit dalam kes penculikan dan peras ugut itu.

Kepala Penerangan Komando Daerah Militer Jayakarta, Kol Heri Prakosa dipetik sebagai berkata dalam media-media tempatan, seorang daripada anggota tentera itu dihantar ke Polis Daerah Militer Jakarta (Pomdam Jaya) di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Polis Daerah Metro Jaya menahan empat lelaki bagi membantu siasatan dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, telefon bimbit, wang tunai berjumlah Rp80 juta (kira-kira RM16,000) serta batu permata dan barangan kemas yang dipercayai milik mangsa.

Polis percaya kegiatan itu disertai oleh 10 orang dan didalangi rakan ahli perniagaan itu sendiri. 

Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Daerah Metro Komisiner Besar Krishna Murti dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, Sahlan telah diculik dan didera selama lapan hari sebelum dibebaskan pada 23 Julai lepas setelah beliau membayar sebahagian wang tebusan.

Sahlan yang menjalankan perniagaan ikan kering dan pengurupan wang di sini telah dihubungi oleh seorang lelaki yang meminta beliau membayar wang sejumlah Rp500 juta di sebuah tempat tetapi Sahlan enggan menurut arahan lelaki terbabit.

Lelaki terbabit kemudiannya mengarahkan sekumpulan 10 orang untuk menyerbu rumah Sahlan di sini dan menculik lima adiknya di rumah berkenaan selain melarikan barangan kemas dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pada 15 Julai lepas, Sahlan menyerah diri kepada kumpulan penculik itu setelah mereka mengugut untuk membunuh kesemua adik-adiknya.

"Mereka (para penculik) meminta mangsa ke sebuah restoran makanan segera Cibubur dan kemudiannya membawa beliau ke sebuah rumah di daerah Cijantung di Jakarta Timur," kata Krishna.

Di sebuah rumh di Cijantung, Sahlan didera dengan senjata api dan diugut bunuh jika tidak menyerahkan wang sejumlah Rp500 juta. 

Sahlan kemudiannya meminta keluarganya di Malaysia mengirim wang sebanyakRp100 juta serta menyerahkan sebuah van mewahnya sebagai pendahuluan kepada kumpulan penjenayah terbabit dan akan membayar bakinya jika dibebaskan.

Bagaimanapun, sebaik dibebaskan pada Khamis lepas, Sahlan terus membuat laporan polis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan