Tunggu Laporan Siasatan Guru Pukul Murid Orang Asli

Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 8:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan masih menunggu hasil siasatan polis berhubung kes seorang murid orang Asli diikat dan dipukul oleh beberapa guru kerana dituduh mencuri di sebuah sekolah di Gua Musang, Kelantan, bulan lepas.

Timbalan Menterinya, P. Kamalanathan berkata belum ada tindakan diambil terhadap guru-guru berkenaan kerana pihaknya masih belum mendapat laporan hasil siasatan polis mengenai insiden itu.

"Kita biarkan polis menjalankan tugas, kemudian barulah kita boleh teliti tindakannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menulis esei Sunway-Oxbridge 2015 di sini, Sabtu.

Bulan lepas, melalui beberapa laporan portal berita, penyelaras sebuah kumpulan sokongan Orang Asli, Centre of Orang Asli Concerns (COAC), Dr Colin Nicholas mendakwa seorang murid tahun empat dari suku kaum Temiar didakwa diikat, ditendang dan dipukul beberapa guru selepas dituduh mencuri wang salah seorang daripada mereka.

Menurut laporan itu, akibat kejadian itu, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di Gua Musang itu mengalami lebam di muka, lengan dan paha.

Sementara itu, pertandingan menulis esei berbahasa Inggeris bertajuk kesan berjudi menyaksikan 26 pemenang meraih hadiah wang tunai berjumlah RM28,000 dan dermasiswa Sunway bernilai RM190,000.

Bagi kategori A iaitu tingkatan empat hingga lima, Mandalyn Tan Ying Rui, 17, dari Kolej Yayasan Saad, Melaka meraih tempat pertama manakala bagi kategori B (tingkatan satu hingga tiga), tempat pertama dimenangi oleh Celine Chua Hui, 14, dari SMK St. Teresa Kuching.

Pemenang pertama bagi setiap kategori menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan dermasiswa RM20,000 berserta trofi dan sijil, pemenang kedua pula menerima wang tunai RM3,000 dan dermasiswa sebanyak RM15,000, trofi dan sijil, manakala pemenang ketiga menerima RM1,000, dermasiswa RM10,000, trofi dan sijil.

SMK (P) Sultan Ibrahim Johor Bahru dinobat 'Sekolah Dengan Penyertaan Terbanyak' dengan jumlah penyertaan sebanyak 132 esei untuk dua tahun berturut-turut.

Pertandingan Esei Sunway-Oxbridge 2015 yang dianjurkan bersama Kumpulan Sunway, The Oxford dan Cambridge Society Malaysia dan Sunway University dengan tujuan memperkasa dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan