MRT Corp Buat Laporan Polis Dakwaan Landasan Retak - Berita Jenayah | mStar

MRT Corp Buat Laporan Polis Dakwaan Landasan Retak

Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2015 5:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MRT Corp membuat laporan polis berhubung posting di laman sosial yang mendakwa terdapat keretakan pada salah satu landasannya.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata dakwaan itu menakutkan orang ramai dan pihaknya mahu ia dihentikan segera.

"Kami akan serahkan kepada polis. Kita perlu pastikan supaya orang ramai tidal menyebarkan pembohongan mengenai projek itu hingga menghakis keyakinan orang ramai terhadap keselamatan mereka sendiri," katanya kepada pemberita di Balai Polis Jalan Travers di sini, Sabtu.

Beliau tiba pada 12.30 tengah hari di sini untuk membuat laporan polis.

Tambahnya, MRT Corp juga akan membincangkan mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mahmood berkata laporan itu adalah yang pertama seumpamanya oleh syarikat berkenaan.

Gambar yang didakwa seperti keretakan pada landasan MRT itu disebarkan secara meluas di media sosial.

Namun MRT Corp segera menafikan dakwaan berkenaan dengan berkata garisan tebal yang kelihatan dalam gambar yang didakwa terdapat 'keretakan' sebenarnya adalah dua helai jaring yang menutupi landasan.

Tags / Kata Kunci: MRT Corp
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan