Anggota Bomba Maut Terkena Renjatan Elektrik

Diterbitkan: Isnin, 20 Julai 2015 11:36 PM

Apolos, anggota bomba yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan operasi memadamkan kebakaran belukar di Taman Kenari Batu 7, dekat Sandakan pada Isnin. Foto twitter @bombaJBPM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

SANDAKAN: Seorang anggota bomba maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan operasi memadamkan kebakaran belukar di Taman Kenari Batu 7, dekat sini, Isnin.

Mangsa, Apolos Jeremos, 25, dari Kampung Entilibon, Tongod antara anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dihantar ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.59 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata, mangsa terkena renjetan elektrik daripada pendawaian disambung secara haram di kawasan rumah setinggan berhampiran taman perumahan itu.

Katanya, mangsa tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar Hospital Duchess di sini untuk dibedah siasat.

Apolos menjadi anggota bomba sejak September 2011 dan meninggalkan isteri yang sedang hamil lima bulan. 

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas tindakan pihak tidak
bertanggungjawab memasang pendawaian elektrik secara haram itu sehingga mengorbankan seorang anggota bomba.

"Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku dari wayar elektrik akibat penyambungan haram dari sebuah rumah pam ke rumah setinggan.

"Akibat kecuaian orang lain, anggota bomba saya telah terkorban. Saya merasa kecewa dan kesal kerana angkara perbuatan orang lain menyebabkan anggota bomba
saya terkorban," katanya dalam laman Facebooknya malam Isnin. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Nordin Pauzi menganggap mendiang Apolos sebagai pegawai yang dedikasi dan terlatih sehingga ditugaskan dengan pasukan khas STORM (Special Technical Operation & Rescue). 

Katanya, beliau sedih kejadian itu berlaku kepada Apolos ketika beliau dan pasukannya berusaha memadamkan kebakaran belukar itu.

"Kejadian ini berlaku apabila mendiang tersentuh wayar elektrik yang terdedah  ketika beliau sukar membezakan sisa dan tumbuhan dengan wayar elektrik," katanya ketika dihubungi Bernama malam Isnin.

Menurutnya, siasatan awal bomba mendapati wayar elektrik adalah dari penyambungan haram dari sebuah rumah pam ke kawasan setinggan yang berdekatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan