Beberapa Individu Akan Disoal Siasat Berhubung Pertemuan Dengan Justo - KPN

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2015 1:00 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil beberapa individu untuk disoal siasat berhubung pendedahan Polis Thailand baru-baru ini bahawa warga Switzerland Xavier Andre Justo telah bertemu dengan pemimpin pembangkang dan majikan media Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, maklumat yang didedahkan oleh rakan-rakan mereka di Thailand adalah serius dan mengejutkan.

"Satu laporan polis telah dibuat berdasarkan maklumat yang didedahkan supaya kita dapat menjalankan siasatan di sini.

"Kami telah mengenal pasti pemimpin pembangkang yang terlibat dan beberapa individu lain yang perlu tampil untuk merakamkan keterangan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman, Jumaat.

Beliau berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan.

"Mereka yang tidak bekerjasama akan ditangkap dan ditahan untuk membantu siasatan.

"Kami juga menggalakkan sesiapa yang mempunyai dokumen yang berkaitan dengan kes ini untuk tampil ke hadapan sebelum kita menjejaki mereka," tegas beliau.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Justo, yang sedang disiasat oleh polis Thailand kerana didakwa memeras ugut PetroSaudi International, telah mengaku mengadakan pertemuan dengan individu tertentu di Singapura untuk berunding mengenai penyerahan dokumen yang dimilikinya.

Jurucakap Polis Diraja Thailand Pol Lt Gen Prawuth Thavornsiri memberitahu kepada pemberita di Bangkok pada Khamis bahawa Justo bertemu dengan orang-orang yang sangat penting dari beberapa negara, di Singapura.

Prawuth berkata Justo mengadakan rundingan harga untuk memberikan mereka semua salinan dokumen-dokumen dalam bentuk fail elektronik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan