PDRM Tambah Satu Batalion PGA Di Esszone

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 4:01 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menambah satu lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan itu terutama menjelang perayaan Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SDCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata pihaknya telah menghantar satu batalion PGA dari semenanjung ke kawasan itu semalam, bagi membantu anggota PGA Sabah menjaga keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Kita menghantar batalion kedua ini bagi melakukan operasi di kawasan pulau, pusat peranginan dan kawasan kritikal untuk memastikan tidak ada kemasukan musuh ke dalam negara.

"Malah kita telah beberapa kali bermesyuarat dengan Komander Esscom untuk menentukan strategi supaya diperkemaskan kawalan pada musim perayaan terutama selepas peristiwa penculikan tempoh hari," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Utara Ulu Kinta di sini, hari ini.

Majlis itu menyaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, SAC Zulkifli Alias menyandang jawatan Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta yang baharu mengantikan SAC Datuk Mohammad Nasir Ramli yang menamatkan perkhidmatannya hari ini.

Pada majlis itu juga seramai 230 pegawai PGA berlainan pangkat dan 14 orang awam menerima sijil penghargaan.

Muhammad Fuad berkata walaupun kawasan Esszone diketuai Komander Esscom, tetapi bantuan kerja tetap diberikan oleh PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menghalang musuh yang sentiasa mencari peluang untuk memasuki perairan negara.

"Mereka ini bercita-cita mahu menyerang polis yang bertugas di pos hadapan, jadi kita sentiasa menasihatkan anggota yang bertugas sentiasa bersiap sedia.

"Baru minggu lepas ada satu peristiwa tembakan, namun tiada anggota kita atau musuh yang cedera. Namun kita dapat kesan yang mereka cuba masuk ke negara kita pada waktu malam," katanya.

Mengulas mengenai Ops Selamat yang bakal dijalankan esok, Muhammad Fuad berkata operasi berkenaan akan dilakukan dengan tegas dan tidak akan berkompromi dengan kesemua pesalah trafik.

Beliau berkata ia berikutan kes kemalangan yang dicatatkan menerusi Ops Selamat pada tahun lepas, menyaksikan peningkatan kemalangan maut walaupun operasi dilakukan secara besar-besaran di seluruh Malaysia.

"Dulu kita cuba cara nasihat dan berkompromi nampaknya ia tidak berjaya, jadi kita gunakan cara penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Kita akan memantau menggunakan helikopter dan segala aset yang kita ada, ia juga dilakukan bagi memastikan kelancaran aliran trafik itu sendiri," katanya.

Tags / Kata Kunci: PGA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan