Wartawan Sinar Harian Maut Nahas Motosikal - Berita Jenayah | mStar

Wartawan Sinar Harian Maut Nahas Motosikal

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 6:06 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wartawan akhbar Sinar Harian maut, setelah motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 19.6 Lebuhraya Elite, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Zailan Tasir berkata dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Nik Norul Hidayat Nik Mustafa, 31, dilaporkan dalam perjalanan dari arah Shah Alam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Dipercayai motosikal mangsa dihimpit kenderaan lain yang mana kita belum dapat pastikan jenisnya, sebelum motosikalnya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

"Berikutan kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala dan beliau telah dibawa ke Hospital Putrajaya oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Zailan berkata mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada pukul 6.40 pagi dan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Tali Air, Morib, Banting.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nik Norul Hidayat yang merupakan wartawan bahagian Pemotoran Sinar Harian meninggalkan seorang isteri, Anis Naziha Abdul Rauf.


Tags / Kata Kunci: maut , motosikal , Sinar Harian
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan