Dev Kumar Dilantik Ketua JSJ Sarawak

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 4:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Senior Asisten Komisioner (SAC) Dev Kumar M.M Sree Shunmugam dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu berkuat kuasa pada Rabu.

Dev Kumar berjanji memberi perkhidmatan terbaik dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.

"Saya berjanji akan taat setia kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia Sarawak dan berjanji untuk menjalankan tugas saya dengan penuh tanggungjawab dan komitmen yang tinggi," katanya dalam ucapan selepas majlis menandatangani nota serah/terima tugas Ketua JSJ kontinjen Sarawak di sini, Rabu.

Dev Kumar menerima tugas baharunya itu daripada pemangku JSJ kontinjen Sarawak ACP Lee Moh Le sambil disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis kontinjen Sarawak SAC Datuk Dr Chai Khin Chung.

Moh pula dilantik sebagai timbalan kepada Dev Kumar berkuat kuasa hari sama.

Sementara itu, Moh menerima pujian Chai kerana berjaya menunjukkan rekod perkhidmatan yang cemerlang sepanjang memangku jawatan berkenaan selama tiga bulan yang menyaksikan kadar jenayah di negeri itu menurun sebanyak 12.83 peratus atau 5,038 kes.

Sambil menyifatkan ia sebagai pencapaian yang cemerlang, beliau yakin Dev Kumar mampu untuk memperbaiki pencapaian berkenaan.

"Saya tahu beliau (Dev) pegawai yang rajin dan komited kepada tugas-tugasnya kerana kami pernah bertugas bersama, tambah Chai.

Sebelum ini Dev Kumar pernah berkhidmat di Sarawak selama tujuh tahun sejak 1982 sebagai pegawai penyiasat (inspektor percubaan).

Selepas itu beliau pernah berkhidmat di Slim River, Perak; Negeri Sembilan, dan jawatan terakhir beliau sebagai Ketua Penolong Pengarah D8, JSJ Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Tags / Kata Kunci: JSJ , Sarawak , OCCI

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan