Kastam Perlis Tingkat Pengawasan Di Kawasan Panas Sepanjang Ramadan

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2015 11:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis meningkatkan pengawasan di kawasan sempadan sepanjang bulan Ramadan ini berikutan berlaku kecenderungan penyeludupan barang.

Pengarahnya, Datuk Mohd Pudzi Man berkata lebih ramai anggota dan pegawai ditempatkan di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti menjadi laluan penyeludup.

"Mercun, bunga api dan beras termasuk beras pulut mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan perayaan Aidilfitri selain barang keperluan harian," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Menurut Mohd Pudzi dalam kes terbaharu dua hari lepas, anggotanya menahan tiga lelaki rakyat Thailand berusia 20-an di Wang Kelian kerana cuba menyeludup 50 kartun rokok belum lulus cukai dengan sebuah lori pikap kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata rokok itu bernilai RM5,555 manakala cukai ditaksirkan melebihi RM56,600. Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini.

Kastam turut menahan seorang lelaki berusia 50-an yang membawa 222 peti bir dalam sebuah MPV yang dipercayai diseludup, kira-kira dua kilometer dari Kompleks Kastam dan Imigresen Padang Besar.

Beliau bekata bir yang dirampas bernilai lebih RM12,400 manakala cukai ditaksirkan melebihi RM25,000, bagaimanapun lelaki itu dibebaskan dengan jaminan Kastam. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Mohd Pudzi Man , mercun , Aidilfitri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan