Polis Buru Tiga Geng Samun, Ragut

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2015 10:33 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis kini sedang memburu tiga anggota 'Geng Acid Super Tangga Batu' termasuk ketua kumpulan itu yang dipercayai terlibat dalam jenayah samun dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Razali Bakar berkata polis memburu tiga individu itu hasil maklumat daripada lima lelaki warga tempatan anggota kumpulan itu yang ditahan pada Rabu.

Beliau berkata tangkapan terhadap mereka yang berusia antara 21 hingga 26 tahun itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini hasil risikan polis selama kira-kira sebulan.

"Mereka yang ditahan mengaku melakukan lebih 20 kes ragut di sekitar Melaka Tengah secara berkumpulan," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata antara barang yang dirampas ialah tas tangan, dompet, telefon bimbit, pelbagai mata wang asing dan senjata tajam yang digunakan untuk mengugut mangsa.

Razali berkata modus operandi kumpulan itu ialah dengan bergerak menggunakan tiga hingga lima motosikal yang mana salah seorang daripada mereka akan menjadi pemantau sebelum anggota lain melakukan aktiviti ragut.

"Semua yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau seperti dadah, samun dan curi dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan kumpulan itu dan suspek yang diburu supaya menghubungi balai polis yang berdekatan bagi menyalurkan maklumat.

Tags / Kata Kunci: Samun , Ragut

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan