Syabu Bernilai RM4.2 Juta Dirampas Di P.Pinang

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 5:38 PM

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad (tiga, kiri) bersama beberapa pegawai menunjukkan dadah jenis syabu dan wang tunai lebih RM4 juta pada sidang media di Nibong Tebal, Rabu. -foto THE STAR/Mustafa Ahmad

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Dua lelaki ditahan dan polis merampas syabu bernilai RM4.2 juta dalam serbuan di sebuah pusat tanaman pokok hiasan di Bukit Tambun dekat sini, Selasa.

Ketika serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, dua lelaki terbabit iaitu warga tempatan dan rakyat Indonesia masing-masing berusia 39 dan 52 tahun sedang memindahkan beg berisi dadah ke dalam dua kenderaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata siasatan polis mendapati pusat tanaman itu dijadikan tempat transit sebelum dadah itu dipasarkan ke luar negara.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui 40 bungkusan dipercayai dadah jenis syabu seberat 42 kilogram (kg) bernilai RM4.2 juta dalam dua beg berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata susulan rampasan itu, polis menyerbu rumah lelaki tempatan yang bekerja sendiri itu di Taman Bakap Indah, Sungai Bakap di sini pada pukul 7 malam hari sama dan menahan seorang wanita Vietnam dipercayai isteri lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan di rumah yang didiami wanita berusia 27 tahun itu, polis  merampas satu paket plastik syabu seberat 0.5 gram bernilai RM100, satu paket  plastik berisi 36 biji pil disyaki ecstacy seberat 10.9 gram (RM1,800) dan tiga biji pil Erimin 5 seberat 0.8 gram (RM90)," katanya.

Wan Hassan berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran dan ia disimpan di pusat tanaman berkenaan sebelum  diedar ke luar negara.

Beliau berkata susulan penahanan tiga individu terbabit, polis merampas  wang tunai RM26,476 dan menyita dua kereta jenis Toyota Harrier dan Mercedes Benz E240, barang kemas serta jam tangan.

"Berdasarkan siasatan, lelaki Indonesia itu bekerja sebagai penjaga dusun dan tinggal di Bukit Jambul, dekat sini. Dia dan pasangan suami isteri itu kini direman sehingga 29 Jun ini bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata usaha mengesan beberapa lagi anggota sindiket pengedaran dadah berkenaan giat dijalankan.
Tags / Kata Kunci: syabu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan