Orkim Harmony: APMM Masih Siasat Wang Yang Ditemui Daripada Lapan Lanun

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 11:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih menyiasat tentang sejumlah besar wang tunai dan puluhan telefon bimbit yang ditemui daripada lapan lanun yang ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam di Barat Daya Pulau Tho Chu pada malam Jumaat lepas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, jumlah sebenar wang tunai berkenaan belum diketahui - sama ada ia mencecah puluhan ribu ringgit Malaysia seperti dilaporkan media.

"Kita sedang berurusan dengan pihak berkuasa Vietnam untuk dapatkan maklumat tersebut. Kita juga tidak dapat sahkan sama ada wang tersebut diperoleh daripada hasil jualan minyak daripada kapal ini atau sebaliknya," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan media Vietnam tentang penemuan sejumlah wang daripada kumpulan lelaki warga Indonesia yang dipercayai lanun yang terlibat merampas kapal MT Orkim Harmony baru-baru ini.

VNEXpress Sunday sebelum ini melaporkan lapan suspek berkenaan berusia di antara 19 dan 61 tahun boleh bercakap dalam bahasa Indonesia dan tidak dapat menjelaskan asal-usul wang mata asing dalam jumlah yang besar serta puluhan telefon bimbit yang ditemui bersama mereka.

Robert yang ditemui semasa pelancaran 'Ops Pemeriksaan Rambang' di perairan negara di atas kapal MT Orkim Harmony di sini hari ini bagaimanapun mengesahkan muatan 6,000 tan metrik minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta di kapal itu tidak terusik.

Dalam masa yang sama, Robert turut mengesahkan kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony sudahpun pulang ke rumah masing-masing berperingkat-peringkat sejak beberapa hari lepas sehingga semalam.

Sementara itu, katanya, dengan pelancaran ops berkenaan, APMM akan mempertingkatkan rondaan udara dari semasa ke semasa terhadap kapal-kapal dagang di perairan negara terutama yang melalui laluan panas.


Beliau berkata pemeriksaan itu akan dilakukan menerusi tindakan 'fast roping' dari helikopter APMM oleh skuad elit APMM, Special Task and Rescue Team (STAR) untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan kapal yang melalui perairan negara supaya percubaan merompak boleh dibanteras lebih awal dan efektif.

Pasukan STAR yang mendapat latihan khas daripada pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM), US Coast Guard dan Japan Coast Guard telah ditubuhkan pada Oktober 2005 bertugas untuk melakukan operasi khas ke atas kapal yang dirompak dan yang berisiko tinggi.


Robert berkata, sepanjang penubuhannya STAR telah melakukan lebih 15 'force boarding' menerusi teknik 'fast roping' dari helikopter ke atas kapal-kapal dan di antara operasi khas yang telah disertai pasukan itu ialah Ops Jerung Emas, Ops Khas Satria Selatan dan Ops Lanun.

Sehingga kini juga APMM telah menangkap dan mendakwa 40 perompak yang terlibat dalam kes rompakan di laut dan telah memeriksa 203,556 kapal dan bot dari tahun 2006 hingga 2015 dengan melibatkan tangkapan sejumlah 8,597 orang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan