Lebih 2,000 Botol Minyak Wangi Hilang, Pengurus Ditahan

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 12:06 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat logistik antara enam individu yang ditahan selepas 2,702 unit minyak wangi pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM300,000 dilaporkan hilang pada Selasa lepas.

Ketua Polis daerah Subang Jaya, ACP Yahya Ramli berkata minyak wangi itu yang dilaporkan hilang di sebuah syarikat logistik di Persiaran Perindustrian Subang hanya disedari oleh pengurus operasi syarikat terbabit selepas dua kakitangannya meletak jawatan secara tiba-tiba.

"Pengurus dan penolong pengurus meletak jawatan secara tiba-tiba...kemudian satu pemeriksaan stok telah dijalankan oleh syarikat terbabit dan mendapati kuantiti minyak wangi telah berkurangan.

"Pihak syarikat kemudiannya membuat laporan polis pada Selasa lepas dan menahan kesemua suspek yang berumur antara 29 tahun hingga 41 tahun termasuk seorang pembeli di sekitar Lembah Klang kira-kira pukul 5.30 petang hingga 11 malam pada hari sama," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux milik salah seorang suspek yang digunakan bagi membawa keluar barangan terbabit berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai membawa keluar barangan terbabit tanpa pemeriksaan dengan meletakkannya di kenderaan persendirian. Ia dipercayai melakukan jenayah terbabit sejak dua bulan lepas secara berperingkat," kata beliau.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: minyak wangi , hilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan