MT Orkim Harmony: Tentera Laut Indonesia Setuju Sertai Operasi Buru Perampas

Diterbitkan: Jumaat, 19 Jun 2015 2:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Indonesia bersetuju membantu mencari perampas kapal tangki MT Orkim Harmony yang melarikan diri di perairan Kepulauan Natuna, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau berkata, persetujuan itu dinyatakan kepadanya oleh Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia Laksamana Ade Supandi melalui perbualan telefon dan teks pesanan ringkas awal pagi tadi.

Abdul Aziz berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata lapan perampas kapal tangki berkenaan melarikan diri daripada kapal tangki itu kira-kira 8.30 malam tadi, menggunakan bot penyelamat kapal itu.

Setakat ini, selain kerajaan Malaysia, turut membantu dalam operasi memburu perampas berkenaan ialah Tentera Udara Diraja Australia yang menyediakan pesawat P3C Orion.

Abdul Aziz berkata, operasi memburu berkenaan turut disertai Tentera Udara Diraja Malaysia yang menyediakan pesawat C-130 Hercules dan B200T-Beechcraft.

TLDM dalam pada itu mengerahkan KD Pahang, KD Terengganu dan KD Jebat disertai dua helikopter Super Lynx dan Fennec, katanya.

Beliau berkata TLDM juga sedang meminta kerjasama Tentera Laut Vietnam dan Thailand untuk membantu operasi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata selain kesemua kru disahkan selamat kecuali seorang tukang masak yang cedera, muatan 6,000 tan metrik petrol RON95 turut disahkan tidak dilarikan perampas.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony tersebut dibebaskan pada kira-kira 2.30 pagi tadi.

Kapal tangki berkenaan kini meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kuantan, Pahang diiringi oleh KD Handalan dan dijangka tiba pada pukul 2 pagi esok (20 Jun).

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Orkim Harmony , Indonesia , TLDM , Abdul Aziz Jaafar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan