Campur Dalam Makanan Taktik Baharu Penyeludupan Dadah

Diterbitkan: Isnin, 15 Jun 2015 11:40 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik terbaharu menyeludup dadah dengan mencampurkan bahan itu bagi dijadikan bentuk makanan pepejal seperti biskut dan gula-gula.

PDRM dalam kenyataan pada Isnin berkata, taktik berkenaan digunakan dengan menjual bahan terlarang itu dalam bentuk makanan pepejal yang dijual melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, modus operandi yang digunakan dalam pengedaran dadah adalah dengan mencampurkan adunan bahan makanan dengan campuran dadah.

"Suspek hanya berinteraksi dengan pembeli melalui Facebook dan aplikasi Instagram sahaja untuk menempah pembelian dan penghantaran makanan yang dipesan, manakala penghantaran hanya dibuat melalui perkhidmatan kurier atau pos sahaja.

"Sindiket pengedaran dadah kini mencari alternatif baru untuk menarik sesiapa sahaja yang berminat untuk membeli dan memiliki pelbagai jenis dadah," kata kenyataan itu.

PDRM menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar mengawasi aktiviti sosial  anak-anak seperti perhubungan melalui media sosial.

Selain itu, orang ramai diminta sentiasa bersikap ingin tahu apabila melihat ahli keluarga dan rakan berkelakuan aneh serta melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan yang diterima melalui kurier atau pos. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: dadah , Bukit Aman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan