Dua Warga Thailand Maut Kemalangan

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2015 3:07 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Thailand maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta di Lebuhraya Hulu Langat, di Ampang awal pagi Isnin.

Dalam kemalangan pada 12.55 tengah malam itu, Wichit Thinwilai, 35, dan Pradit Thinwilai, 29, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori itu cedera dalam kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Khairuldin Saad berkata kemalangan berlaku selepas kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Hulu Langat menuju ke Jalan Taman Putra bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan tersebut, pemandu dan penumpang hadapan kereta tersebut tersepit dan mati di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan," katanya.

Katanya kedua-dua warga Thailand yang bekerja sebagai tukang masak itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, muka dan badan.

"Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Besar Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya.

Tags / Kata Kunci: Bomba , Polis , Ampang , Kemalangan , Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan