Sembilan Rakyat Malaysia Ditahan Seludup Rokok

Diterbitkan: Sabtu, 30 Mei 2015 1:17 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan beberapa cubaan untuk menyeludup rokok dalam tempoh tiga hari membabitkan empat kenderaan berdaftar di Malaysia di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Sembilan warganegara Malaysia terdiri tiga lelaki dan enam wanita ditahan.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa itu berkata dari Selasa (26 Mei) hingga Khamis (28 Mei), pegawai ICA di pusat pemeriksaan itu menemukan sejumlah 1,984 karton dan 2,395 paket rokok yang tidak dibayar duti dalam ruang yang telah diubah suai dalam tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah bas yang berdaftar di Malaysia.

Duti dan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) bagi rokok berkenaan dalam empat kes itu adalah kira-kira S174,860 (S$1=RM2.71) dan S$16,600, menurutnya.

Dalam kes pertama pada Selasa, rokok ditemukan disembunyikan dalam ruang bahagian depan yang telah diubah suai dalam sebuah MPV dipandu lelaki berumur 23 tahun dan ditemani tiga penumpang wanita.

Juga pada hari yang sama, pegawai ICA menemukan rokok disembunyikan dalam ruang yang telah diubah suai dalam sebuah bas yang tidak membawa penumpang dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun.

Pada Rabu, rokok ditemukan disembunyikan dalam tangki minyak yang telah diubah suai dalam sebuah MPV dipandu seorang lelaki berumur 26 tahun.

Pada Khamis pula, rokok ditemukan disembunyikan dalam beberapa bahagian sebuah MPV yang telah diubah suai dipandu wanita berumur 29 tahun dan ditemani dua lagi wanita.

Pemandu, penumpang, rokok dan kenderaan dalam semua kes berkenaan diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut, menurut kenyataan itu.

-- Bernama
Tags / Kata Kunci: ICA , rokok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan