Dua Maut Ketika Pergi-Balik Kerja Setiap Hari

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2015 4:46 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Sebanyak dua daripada tiga kematian berkaitan pekerjaan yang dicatatkan di negara ini setiap hari melibatkan kes kemalangan maut ketika pergi atau pulang dari tempat kerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 933 kematian berkaitan pekerjaan direkodkan dengan 646 daripadanya adalah akibat kemalangan jalan raya yang kebanyakannya berlaku sekitar lima kilometer dari tempat kerja.

Katanya kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 76.9 peratus kemalangan perjalanan melibatkan motosikal dan sering terjadi pada waktu kerja syif pagi iaitu 68.8 peratus.

Riot berkata secara keseluruhannya terdapat 28,037 kes kemalangan ketika pergi dan balik kerja pada 2014, meningkat 62 peratus berbanding 10 tahun lepas iaitu 17,297.

"Antara punca kemalangan yang dikenal pasti adalah seperti pengurusan masa, sikap tergesa-gesa, kelesuan, kurang tumpuan, ketidakstabilan kenderaan dan juga pemakaian yang samar semasa menunggang motosikal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Perjalanan Selamat Peringkat Kebangsaan Perkeso 2015 dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad, di sini, Selasa.

Riot berkata kempen bertemakan 'Janji Selamat Pergi Balik Kerja' itu memberi fokus kepada pekerja yang menunggang motosikal ke tempat kerja sebagai kumpulan sasaran utama.

Menurutnya kempen itu menyasarkan lebih 200 program advokasi, 100 program menunggang motosikal secara selamat serta pemberian topi keledar dan pelekat keselamatan yang akan dilaksanakan oleh majikan-majikan terpilih di seluruh negara.

Katanya, walaupun usaha mengurangkan kemalangan jalan raya turut dilaksanakan oleh kementerian dan pelbagai agensi lain, namun kempen seumpama ini yang menyasarkan golongan pekerja adalah amat penting.

"Kempen ini adalah tambahan kepada usaha yang dibuat oleh agensi lain dan ini adalah amat penting memandangkan enam juta pekerja di negara ini adalah pencarum Perkeso," katanya.

Tambahnya pada tahun ini Perkeso meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM4.3 juta kepada 27 institusi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan 589 program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tags / Kata Kunci: Maut , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan