Mayat Wanita Mereput Dijumpai Dalam Kotak Di Tanjung Bungah

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2015 8:40 PM

Anggota Polis Forensik mengumpul bahan bukti pada sebuah kotak besar yang dijumpai bersama mayat wanita yang reput di sebuah hutan di Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bungah pada Sabtu. Foto: BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mayat seorang wanita yang telah mereput dan disumbat ke dalam kotak dijumpai di tepi belukar Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bungah, di sini pada Sabtu. 

Kotak berisi mayat itu ditemui berada kira-kira 20 meter dari kawasan curam kaki bukit berkenaan oleh seorang lelaki yang sedang mengutip tin dan botol pada pukul 1.00 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 30-an itu memakai baju-T, berseluar pendek selain turut dibalut dengan selimut. 

"Mayat itu dipercayai telah dibuang lebih dari 10 hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.  

Katanya identiti wanita itu tidak dapat dikenalpasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.  

Mior Faridalathrash berkata tiada darah atau kesan kecederaan luaran dikesan pada tubuh wanita terbabit dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. 

Tinjuan mendapati tempat kejadian merupakan kawasan perumahan elit yang terletak di kawasan berbukit-bukit dan agak sunyi serta jarang dilalui orang ramai melainkan kaki-kaki joging dan pendaki bukit.

Tags / Kata Kunci: mayat wanita mereput

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan