Polis Lumpuhkan Sindiket Gores Dan Menang Babit Kerugian RM1.5 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2015 2:30 PM

Mior Faridalathrash Wahid

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis yakin dapat melumpuhkan sindiket penipuan gores dan menang membabitkan kerugian mencecah RM1.5 juta selepas menahan 17 individu pada Mac dan 18 Mei lepas.

Ketua Polis Dearah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata susulan penahanan tiga lelaki pada Mac tahun ini, polis menahan 14 lagi suspek pada 18 Mei lepas dalam serbuan di syarikat mereka yang beroperasi di Jalan Slim di sini.

"Hasil serbuan pada 2.50 petang itu, polis menemui senarai invois bayaran yang dibuat pelanggan, kupon peraduan gores dan menang serta fail mengandungi pelbagai gambar hadiah yang ditawarkan syarikat itu," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Polis percaya tangkapan kumpulan pertama dan kedua itu mempunyai kaitan kerana menggunakan modus operandi yang sama dalam lebih 30 kes penipuan yang dilapor di daerah Timur Laut sejak tahun ini, katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) awal tahun ini untuk menjalankan perniagaan menjual barangan elektrik.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai barangan elektrik seperti set teater rumah, periuk nasi, pelbagai jenama telefon bimbit, selain aksesori komputer, penapis air dan sebuah tilam yang didakwa mengandugi batu jed.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa yang kebanyakan terdiri ddaripada golongan pesara dipancing dengan hadiah kemenangan berupa kereta mewah, rumah dan pakej umrah serta percutian ke luar negara.

Katanya, sindiket itu bertumpu di sekitar pusat membeli belah dan bank-bank serta sanggup mendesak dan mengekori pelanggan mereka ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang.

Katanya, mangsa sanggup membayar dari RM2,000 hingga puluhan ribu ringgit dan hanya sedar diri tertipu apabila tidak mendapat hadiah seperti yang dijanjikan sebaliknya diberi barangan lain bernilai lebih rendah sebagai ganti.

Beliau berkata, 14 suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan manakala tiga individu yang ditahan lebih awal disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 2011.

"Polis percaya ia adalah tangkapan terbesar tahun ini dan menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kumpulan yang menawarkan hadiah mewah dengan bayaran rendah dan tidak melayan pujukan seumpama itu untuk mengelak daripada menjadi mangsa," katanya.-- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan