Pemerdagangan Manusia: Dua Polis Antara 38 Ditahan - Khalid

Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 4:42 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua anggota polis antara 38 individu yang ditahan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia di utara Malaysia dan selatan Thailand.

Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tujuh sindiket pemerdagangan manusia dilumpuhkan hasil kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia dan Thailand.

"Suspek membabitkan 21 warga Myanmar, 16 rakyat Malaysia dan seorang dari Indonesia ditahan antara Mac dan April tahun ini.

"Mereka merangkumi ejen, ketua sindiket, pihak yang bertanggungjawab membawa mangsa dan dua anggota polis," katanya sambil menambah semua terbabit ditahan mengikut Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Khalid mendedahkan, mangsa sindiket itu lebih kepada warga Myanmar dan Bangladesh.

"Mereka juga dipercayai terbabit memalsukan dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Khalid menambah, antara Ahad dan Isnin pula, polis menahan 1,018 Pati di pesisir pantai Langkawi.

"Mereka membabitkan 555 Bangladesh, 463 warga Myanmar. Dua kapal yang digunakan juga dirampas," katanya.

Semua Pati masih ditahan di Langkawi untuk membantu siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan