Polis Tidak Terima Permohonan Perhimpunan Bantah GST

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 5:09 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Pihak polis tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) untuk berhimpun di Tapak Ekspo Seberang Jaya esok.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata penganjur sepatutnya mengikut peraturan yang ditetapkan bagi penganjuran sesebuah perhimpunan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Apa juga perhimpunan lain selain daripada ceramah pilihan raya adalah di bawah Akta Perhimpunan Aman dan menerusi akta itu setiap penganjur kena maklumkan perhimpunan yang akan diadakan dalam tempoh 10 hari (dan) kalau mereka tidak maklumkan kepada polis, ia telah melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Setakat hari ini, polis masih belum dimaklumkan mengenai perhimpunan itu oleh pihak penganjur dan jika mereka tetap mengadakannya ia melangar peraturan, polis akan ambil tindakan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas mendengar taklimat berkaitan pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh di sini, Khamis.

Selain di Tapak Ekspo Seberang Jaya, perhimpunan turut dirancang di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Sementara itu Noor Rashid berkata pada PRK Parlimen Permatang Pauh, polis menerima 37 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya dan membuka empat kertas siasatan sejak hari penamaan calon 25 April lepas sehingga semalam.

Katanya empat kertas siasatan itu adalah tiga berkaitan ceramah diadakan tanpa permit oleh parti PKR dan terbaharu semalam satu laporan polis dibuat oleh Barisan Nasional (BN) berikutan kain rentang dan bendera calon parti itu dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kes merosakkan bendera dan banner itu, polis siasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan saya nasihatkan semua pihak terutama jentera parti yang bertanding pada PRK ini agar mengawal emosi dan tidak bertindak di luar batasan. Tidak ada apa-apa keuntungan jika buat macam itu (merosakkan bahan kempen)," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini, lebih 100 permit untuk mengadakan ceramah bagi berkempen pada PRK Parlimen Permatang Pauh dikeluarkan kepada parti yang bertanding termasuk calon Bebas.

"Polis menjangkakan lebih banyak lagi permohonon untuk mengadakan ceramah akan diterima selepas ini dan setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, jadi saya minta kerjasama semua pihak agar terus mengekalkan suasana aman dan harmoni ini sehingga tamat PRK Parlimen Permatang Pauh," katanya.

Noor Rashid turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menimbulkan isu-isu sensitif, menghasut atau membuat dakwaan yang boleh menimbulkan kemarahan pihak lawan dan kegusaran orang ramai semasa menyampaikan ceramah pada PRK Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

Beliau berkata jumlah anggota polis dan sokongan logistik untuk PRK Parlimen Permatang Pauh mencukupi dan pihaknya juga telah membuat persiapan rapi terutama menjelang hari pengundian pada 7 Mei depan.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar  hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.

Tags / Kata Kunci: GST

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan