Dua Maut Dipanah Petir Ketika Cari Madu

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 11:43 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

JASIN: Dua maut manakala dua lagi cedera dipercayai akibat dipanah petir ketika mencari mereka madu kelulut di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Muhibbah Merlimau di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua mangsa Shahrul Nazrin Roslan, 24, dan Zul Effendi Abdullah, 23, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Manakala dua mangsa yang cedera iaitu Mohd Saad Md Rasul, 40, dan Shahnor Hafizi Shahmat, 26, dihantar ke Hospital Melaka.

"Ketika kejadian hujan lebat turun bersama angin kencang serta petir. Mangsa keluar pada pukul 3.30 petang untuk mencari madu bersama bapa saudara mereka (bapa saudara Shahrul Nazrin dan Zul Effendi) serta adik lelaki Zul Effendi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya, bapa saudara mangsa iaitu Nor Azman Bujang, 48, terlebih dahulu pulang ke rumah sebelum kejadian dan dimaklumkan tentang kejadian oleh adik lelaki Zul Effendi iaitu Mohd Nordin Azman, 11.

Sementara itu, Nor Azman berkata beliau dimaklumkan kejadian itu oleh Mohd Nordin sebaik tiba di rumahnya di Jalan Paya Lengkung, Merlimau kira-kira 4.45 petang.

"Pada mulanya saya mengajak Mohd Nordin untuk pulang ke rumah kerana cuaca hampir hujan tetapi beliau minta saya balik dulu kerana dia hendak mencari madu bersama yang lain. Selepas hujan berhenti dia balik dan maklumkan mereka (mangsa) dipanah petir," katanya.

Beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melihat dari jauh semua mangsa telah terbaring dan mendapati Shahrul Nazrin serta Zul Effendi tidak lagi bernyawa.

Katanya, kedua-dua anak saudaranya itu tiada pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada upah melakukan kerja kampung termasuk mencari madu kelulut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan