Wanita Tukang Urut Mulakan Kebakaran Kerana Tekanan Kerja

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 11:31 PM

Anggota Bomba dan Penyelamat Sibu cuba memadamkan kebakaran sebuah kuarters pekerja di sebuah bangunan di Jalan Kampung Nyabor di sini, Rabu. Siasatan awal Polis mendapati kejadian kebakaran kira-kira 11 pagi itu berpunca akibat tindakan seorang wanita tukang urut berusia 25 tahun dari Vietnam yang dikatakan tertekan dengan kerjanya selain mempunyai masalah mental.

(Ubah saiz teks)

SIBU: Akibat tidak tahan dengan tekanan kerja sebagai tukang urut, seorang wanita Vietnam dipercayai telah memulakan kebakaran yang memusnahkan kuarters pekerja yang diduduki bersama rakan-rakannya, Rabu.

Wanita berusia 25 tahun itu dikatakan mengurung dirinya di dalam bilik tidur di kuarters yang terletak di tingkat lima sebuah bangunan kedai di Jalan Kampung Nyabor di sini.

Kebakaran pukul 11 pagi itu disedari oleh dua lagi wanita Vietnam setelah mereka terlihat asap keluar dari bilik tersebut.

"Kedua-dua wanita tersebut cuba membuka pintu bilik itu namun gagal dan setelah beberapa ketika wanita itu secara tiba-tiba keluar dari bilik dan melarikan diri," kata Ketua Polis Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati kedua-dua wanita itu ada terlihat pemetik api di tangan wanita terbabit semasa dia sedang berlari keluar dari biliknya.

Katanya, kedua-dua wanita yang percaya rakan mereka itu telah memulakan kebakaran dengan membakar bantal dan cuba memadamkan api tetapi gagal.

Susulan daripada kejadian itu, sepasukan polis telah berjaya menahan suspek pada pukul 12.40 tengah hari di hadapan sebuah hotel yang terletak di belakang bangunan tersebut.

"Majikan dan rakan suspek percaya dia ada mengalami masalah mental dan selalu minta balik ke negara asal," katanya sambil menambah suspek akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Abdul Mutalif Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran sekitar jam 11.36 pagi dan menghantar dua jentera ke tempat kejadian dengan 14 anggota.

Mereka yang dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah berjaya dikawal pada jam 12.11 tengah hari.

Lima wanita warga Vietnam dan dua wanita China tinggal di kuarters tersebut.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Vietnam , tukang urut , Jalan Kampung Nyabor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan