Kastam KLIA Patahkan Cubaan Seludup Syabu Bernilai RM1.05 Juta

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2015 4:28 PM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 5.52 kg bernilai RM1.05 juta dalam tiga kes berasingan pada bulan ini.

Pengarahnya Datuk Chik Omar Chik Lim berkata ketiga-tiga kes berkenaan menggunakan modus operandi iaitu penyeludupan melalui bagasi dan perkhidmatan penghantaran cepat yang dikirim ke alamat yang tidak wujud.

Dua lelaki warga Nigeria turut ditahan pada 5 dan 16 April lepas berkaitan kes cubaan menyeludup dadah itu, katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Dalam kes pertama, pihaknya menahan seorang lelaki Nigeria berumur 25 tahun bersama dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 2.49 kilogram bernilai RM474,050 yang disembunyikan di bahagian lutut seluar jeans di KLIA pada 7.20 malam, 5 April lepas.

"Siasatan mendapati suspek telah dua kali datang ke Malaysia dan merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta yang telah ditutup di Kuala Lumpur. Dalam salah satu beg dibawa suspek, pihak kastam telah menjumpai beberapa helai seluar jeans dan dibahagian lutut seluar itu dijahit khusus untuk menyorok dadah," katanya.

Chik Omar berkata kes kedua berlaku pada pukul 11.20 pagi 16 April lalu apabila kastam menahan seorang lagi lelaki Nigeria berusia 34 tahun dan merampas 1.33 kilogram syabu bernilai RM253,080 yang disembunyikan di dalam tin makanan.

"Suspek itu ditahan di kawasan pangsapuri Taman Sentosa, Klang setelah menerima sebuah bungkusan dari syarikat penghantaran cepat. Siasatan awal mendapati bungkusan itu dikirim dari Lagos kepada suspek yang datang ke Malaysia sejak 2013 dan bekerja dengan sebuah gudang alat ganti kereta haram di Klang, Selangor," jelasnya.

Kes terbaharu berlaku semalam apabila pihak Kastam merampas sebuah bungkusan yang tiba dari Dalhui Zhiou, China mengandungi 1.7 kilogram syabu bernilai RM324,900 disembunyikan di dalam kasut sukan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sembilan daripada 25 pasang kasut sukan disembunyikan dengan 34 paket serbuk kristal jernih putih yang diuji methamphetamine," katanya.

Chik Omar berkata pihaknya percaya kes ketiga ini berkait rapat dengan kes kedua, namun siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik bungkusan itu.

Katanya salah seorang suspek itu telah dituduh mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala seorang lagi masih direman mengikut akta yang sama.

Tags / Kata Kunci: Syabu , Kastam , KLIA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan