12 Suspek Ditahan Kes Serang, Bakar Pondok Pengawal - Berita Jenayah | mStar

12 Suspek Ditahan Kes Serang, Bakar Pondok Pengawal

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 3:47 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis menahan 12 suspek berhubung kejadian pondok pengawal di sebuah taman perumahan di Bandar Bukit Raja, Klang diserang dan dibakar sekumpulan lelaki pada awal pagi Sabtu lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kesemua suspek berumur antara 23 tahun hingga 40 tahun itu ditahan sekitar Klang dan Kampar, Perak dalam beberapa operasi bermula Sabtu lepas sehingga pukul tiga pagi Isnin.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, seorang pengawal keselamatan terbunuh manakala enam lagi cedera selepas tiga pondok keselamatan di sebuah kawasan perumahan diserang oleh sekumpulan individu. 

Lebih menyayat hati mangsa yang terbunuh, Muhammad Ridzhuan Che Bi, 26, baru dua bulan mendirikan rumah tangga manakala enam rakannya cedera ditetak dengan senjata tajam.

Mohd Adnan berkata, pihaknya percaya motif serangan berpunca daripada perebutan kawasan untuk kawalan keselamatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan kumpulan kongsi gelap dalam kejadian itu. 

Bagaimanapun, katanya tumpuan utama siasatan pada masa ini adalah untuk mencari pihak bertanggungjawab membakar dan menyerang pondok berkenaan. 

Mohd Adnan berkata, kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan