Tiga Penyokong IS Pulang Dari Syria Diburu

Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 12:44 PM

Wan Junaidi.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat menjejaki tiga warga tempatan yang disyaki merupakan penyokong militan Negara Islam (IS) yang masih berleluasa selepas pulang dari Syria baru-baru ini.

"Kita sedang memburu mereka dan mengenal pasti tempat yang sering dikunjungi mereka dan lokasi yang mungkin mereka berada," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau menambah, pihak berkuasa turut mengenal pasti keluarga suspek.

"Mereka tidak boleh mempengaruhi rakyat kerana mereka sedar pihak polis sedang memburu mereka," tambahnya.

Beliau berkata, maklumat mengenai ketiga-tiga individu terbabit adalah berdasarkan maklumat risikan, yang menunjukkan mereka mungkin menjalani latihan ketenteraan.

Bagaimanapun, beliau enggan untuk mengulas lanjut mengenai suspek, dengan menyatakan bahawa ketiga-tiga mereka akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama 60 hari untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Wan Junaidi memberitahu Dewan Negara bahawa setakat 1 April lalu, seramai 119 rakyat Malaysia sudah dikenal pasti kerana disyaki terlibat dengan IS.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 60 ditahan oleh polis, 46 dipercayai masih berada di Syria, 10 meninggal dunia dalam konflik yang berlaku dan tiga lagi masih berleluasa di negara ini.

Wan Junaidi yang menjawab soalan dikemukakan oleh Senator Datuk S. Vigneswaran (BN-Selangor) berkata, polis sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mematahkan pengaruh IS di Internet dan media dosial.


Tags / Kata Kunci: IS , Wan Junaidi Tuanku Jaafar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan