80,000 Pati Dikesan Di Sarawak, Operasi Bersepadu Diperhebat

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 8:42 PM

Wan Junaidi sambil disaksikan Mustafa (dua dar kiri) menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada pegawai Imigresen, Elangovan Muniandy di MAEPS, Serdang, Selasa.

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Operasi bersepadu secara besar-besaran dipergiat berikutan maklumat risikan agensi penguatkuasa mengesan kehadiran kira-kira 80,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sarawak.

Susulan itu, pelbagai usaha mula dirangka bagi membanteras kebanjiran sejumlah besar Pati di negeri berkenaan yang mulai menggugat kehidupan penduduk tempatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dakwaan 300,000 Pati di Sarawak adalah tidak benar sama sekali.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai 'penilaian' pihak tertentu mengenai 300,000 Pati di Sarawak. Itu adalah tidak betul," katanya.

Pada Mac lalu, sebuah portal berita memetik seorang pemimpin pembangkang di Sarawak yang meluahkan kebimbangan mengenai kebanjiran 300,000 Pati di negeri itu.

Kata Wan Junaidi, operasi bersepadu secara besar-besaran dilakukan bagi menangani isu Pati di negeri itu untuk mengelak kebanjiran golongan berkenaan seperti mana berlaku di Sabah.

Menurutnya, Jawatankuasa Operasi Bersepadu Sarawak melibatkan 12 agensi diketuai Jabatan Imigresen yang dipengerusikannya mengadakan mesyuarat minggu lalu.

"Kita menekankan supaya operasi bersepadu diteruskan. Jawatankuasa yang saya pengerusikan minggu lepas telah tetapkan agensi yang mengetuai iaitu imigresen akan melaporkan perkembangan operasi setiap minggu.

"Kita tak mahu ibarat 'nasi dah jadi bubur' seperti yang berlaku di Sabah. Keduanya, kita juga tidak mahu melihat 'orang' yang datang itu bertapak terus dan meneroka tanah sebagaimana yang berlaku di Cameron Highlands. Ini juga umpama 'nasi dah nak jadi bubur' baharu kita buat operasi besar-besaran untuk mengusir mereka yang melakukan penerokaan tanah-tanah kita sebagaimana yang orang tempatan buat. Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku.

"Tetapi tugas dan tanggungjawab ini diletakkan bulat-bulat di atas bahu agensi-agensi Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Imigresen. Sebenarnya tanggungjawab ini disandang semua pihak, agensi penguatkuasa dari Jabatan Imigresen ke majlis tempatan, Jabatan Tanah dan Survei dan sebagainya. 

"Jadi belajar apa yang berlaku di Cameron Highlands dengan kita mengaturkan gerakan di Sarawak. Masyarakat tempatan juga kena bantu kerajaan dalam menangani isu Pati ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Jabatan Imigresen di sini, Selasa.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim.

Wan Junaidi berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa undang-undang akan diperuntukkan sekiranya ia masih tidak mencukupi ketika ini dalam usaha membanteras Pati di Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan ketika ditemui berkata, maklumat mengenai anggaran sehingga 80,000 Pati di Sarawak adalah berdasarkan sumber risikan imigresen dan polis.

Menurutnya, kebanyakan Pati adalah dari Indonesia berikutan Sarawak bersempadan dengan Kalimantan.

Ditanya mengenai pecahan anggaran 80,000 Pati itu, Hamfatullah Syawal berkata: "Kita tidak dapat berapa (pecahan) anggaran, tetapi berdasarkan tangkapan Pati sejak 2013 sehingga 2015 setakat ini, antara 84 hingga 86 peratus adalah dari Indonesia terutama dari Kalimantan.

"Kita sudah mula melakukan operasi bersepadu secara besar-besaran dua kali sebulan dan operasi berkala setiap hari," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tumpuan Pati di Sarawak termasuk lokasi panas yang dikenal pasti sebagai penempatan mereka.

"Tetapi pada masa ini kita memberi tumpuan (operasi) di Miri kerana kehadiran suku kaum Bajau dan Suluk (dari Filipina) yan menggugat periuk nasi orang tempatan," katanya sambil menambah operasi dimulakan sejak 18 Mac lalu.

Mengenai lokasi panas, Hamfatullah Syawal berkata, hampir setiap bahagian di Sarawak dikesan mempunyai penempatan Pati.

"Sarawak ada 12 bahagian dengan 33 daerah di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Kapit, Miri, Bintulu, Limbang, Bentung, Mukah dan Sarikei," katanya yang enggan mendedahkan jumlah lokasi panas yang dikenal pasti.

Bagaimanapun katanya, operasi membanteras Pati di Sarawak mempunyai kekangan berbanding negeri lain termasuk Sabah.

"Macam Sabah ada Ops Pati Sabah, Semenanjung pula negeri-negeri lain boleh tolong tetapi di Sarawak 'all alone'.

"Itu merupakan salah satu kekangan. Selain itu, dari segi bajet  untuk pergerakan pegawai dan urusan pengusiran," katanya sambil menambah sebanyak 745 Pati telah diusir keluar dari Sarawak sejak 2013 sehingga kini, dengan sebahagian besar pulang ke Indonesia serta negara lain seperti Filipina, India, China dan Vietnam.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan