OCPD Seremban Nafi Sebut Pengguguran Pasangan Berkahwin Dibenarkan

Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 3:58 PM

Muhamad Zaki Harun

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Ketua Polis Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran oleh pasangan yang berkahwin adalah dibenarkan di sisi undang-undang.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar The Malay Mail pada 28 Mac di bawah tajuk 'Cops Says Abortion Legal For Married Couples'.

"Saya ingin menegaskan bahawa tajuk dan kandungan laporan berkenaan adalah bercanggah dengan kenyataan sebenar saya pada wartawan tersebut.

"Di dalam kenyataan saya kepada wartawan berkenaan, saya tidak pernah menyatakan sedemikian.

"Saya cuma memberitahu bahawa dalam kes tersebut, tindakan seorang wanita hamil yang sudah berkahwin yang mengalami tekanan mental dan fizikal untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan adalah betul," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Muhamad Zaki berkata, beliau tidak pernah menyatakan seorang wanita yang sudah berkahwin boleh menggugurkan kandungannya, kerana tiada peruntukan undang-undang di negara ini yang membenarkannya.

Beliau berkata, kredibilitinya sebagai ketua polis tercalar akibat salah faham kenyataan dan laporan yang diterbitkan akhbar tersebut.

"Akibat kesalahfahaman kenyataan dan laporan yang ditulis itu telah menyebabkan saya dikritik oleh beberapa pihak yang saya rasa sesetengahnya agak keterlaluan dan tidak perlu.

"Walau bagaimanapun saya mengambil sikap positif kerana mereka mengkritik berdasarkan laporan akhbar tersebut dan bukan atas maksud kenyataan saya yang sebenar," katanya.

Dalam masa yang sama, Muhamad Zaki turut menasihati orang awam agar berhati-hati mengeluarkan komen kerana tindakan mengheret dan menghina pasukan polis atas perkara yang mereka sendiri tidak jelas adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Dengan penjelasan ini, diharap semua pihak yang berkaitan akan dapat memahami kenyataan sebenar saya.

"Apa yang berlaku tidak sama sekali menjejaskan hubungan saya dengan pihak wartawan khususnya di Seremban kerana selama ini kami amat mesra dan saling menghormati," katanya.-- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan