Timbalan Presiden MBN Terima Ugutan Bunuh, Buat Laporan Polis

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 4:38 PM

Aswannuddin menunjukkan mesej ugutan bunuh yang diterimanya selepas membuat laporan polis, Selasa. Foto PerakToday

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh melalui aplikasi Whatsapp, Ahad lepas.

Bercakap kepada pemberita di Balai Polis Sungai Senam di sini, Aswannudin berkata, beliau membuat laporan polis itu kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.

Beliau mendakwa menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp pada kira-kira 12.19 tengah hari daripada individu tidak dikenali yang mengugut untuk membunuhnya.

"Pesanan itu berbunyi 'As salam... berapa harga tuan?' berserta gambar sebilah parang di telefon bimbit saya," katanya.

Aswannuddin berkata, ugutan seumpama itu merupakan kali pertama diterimanya sejak menjadi Timbalan Presiden MBN Perak pada November tahun lepas.

Beliau berkata, ugutan itu mungkin berpunca daripada permohonan MBN Perak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri SK Devamany agar mengambil tindakan terhadap ADUN pembangkang yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan DUN Perak, 31 Mac lepas.

"Ini kerana tindakan pembangkang menghina dan biadab kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah," katanya.

Aswannudin berkata, beliau dinasihati supaya tidak menghubungi nombor telefon yang tertera di mesej berkenaan sehingga laporan polis dibuat.

Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti individu yang terlibat dengan ugutan terbabit.

"Kita percaya negara ini ada undang-undang dan kita serahkan kes ini kepada pihak polis," katanya.-- Bernama 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan