Nahas Helikopter: Identiti Mangsa Keenam Masih Misteri

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2015 6:07 PM

Antara wakil kedutaan Kyrgyztan hadir ke Jabatan Forensik Hospital Besar Kuala Lumpur di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Misteri menyelubungi mangsa keenam nahas helikopter Sabtu lalu apabila identitinya masih belum dikenal pasti seperti yang didakwa oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Seorang jurucakap hospital memberitahu pemberita bahawa tidak dipastikan bahawa mayat berkenaan merupakan Aidana Baizieva seperti yang dilaporkan media.

"Kami juga tidak pasti jantina mangsa.

"Satu perkara yang kami dapat sahkan bahawa sekumpulan pelawat dari Kedutaan Kyrgyzstan tiba di bilik mayat pagi ini," katanya.

Jurucakap itu turut mendedahkan bahawa Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sedang mempersiapkan kertas kerja yang diperlukan sebelum menuntut mayat juruterbang, Kapten Clifford Fournier.

"Ia merupakan kes polis dan siasatan sedang berjalan maka kita tidak boleh mendedahkannya lagi," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin yang nyaris terlibat dalam nahas helikopter Sabtu lalu apabila beliau turun di Muadzam Shah di Rompin, kira-kira kurang sejam sebelum insiden berlaku berkata, beliau tidak mengetahui siapakah wanita yang duduk di sebelah juruterbang.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya sebelum ini dan saya tidak bertanyakan siapa dia.

"Syarikat helikopter sepatutnya lebih tahu kerana juruterbang akan memaklumkan mengenai setiap pergerakan kepada menara kawalan atau syarikat," katanya.

Terdahulu, wanita berkenaan yang dipercayai merupakan saudara tiri Baizieva tiba di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Dia tiba bersama seorang pegawai Kedutaan Kyrgyzstan di bilik mayat HKL kira-kira pukul 10.45 pagi.

Seorang jurucakap Kedutaan Kyrgyzstan mengesahkan Baizieva merupakan warga Kyrgyzstan dan pernah bekerja di Malaysia.

"Rekod menunjukkan dia (Baizieva) berada di Malaysia hampir setahun," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Baizieva dikatakan terbunuh dalam nahas helikopter di Semenyih pada Sabtu lalu yang turut mengorbankan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Terdahulu, wanita itu dilaporkan sebagai pembantu juruterbang helikopter dan kemudiannnya disahkan sebagai kakitangan syarikat penerbangan swasta, Cempaka Aviation.

Tags / Kata Kunci: Aidana Baizieva

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan