Pasukan Khas Ditubuhkan Siasat Punca Nahas Helikopter - Tiong Lai

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 12:10 AM

Mayat pertama dibawa keluar dari lokasi nahas helikopter yang terhempas di Kampung Pasir Baru Semenyih di sini, Sabtu malam. Kejadian itu mengakibatkan enam terkorban termasuk Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di Semenyih dekat sini, petang Sabtu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pasukan itu akan menyiasat dengan menyeluruh termasuk mengambil semua bukti di lokasi nahas itu di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru.

"Pasukan khas ini akan membuat tinjauan di lokasi kejadian termasuk mengambil rakaman kokpit dalam helikopter untuk siasatan lanjut," katanya.

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di kawasan kebun getah itu pada 4.55 petang.

Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu pemberita bahawa helikopter itu meletup di udara sebelum terhempas, dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah.

Kesemua enam mayat mangsa nahas itu sudah ditemui pasukan mencari dan menyelamat melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam beberapa jam selepas insiden itu.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Liow Tiong Lai , Semenyih , helikopter

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan