Nahas Helikopter: Jamaluddin Jarjis, Lima Lagi Terkorban

Diterbitkan: Sabtu, 4 April 2015 8:44 PM

Jamaluddin (dua dari kanan) dan Azlin (dua dari kiri) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri di Pekan, pagi Sabtu, beberapa jam sebelum Jamaluddin dan Azlin terbabit dalam nahas helikopter yang mengorbankan mereka serta empat yang lain di Semenyih.

(Ubah saiz teks)

Terkini

PETALING JAYA: Enam individu termasuk bekas menteri, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di kawasan ladang getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru Semenyih petang Sabtu.

Sehingga jam 9 malam, mayat keenam-enam mangsa nahas sudah ditemui.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat berkenaan dari lokasi kejadian.

Semua enam mayat akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Berdasarkan maklumat yang diterima, helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu dipandu Kapten Cliff Fournier.

Selain Dr Jamaluddin, helikopter tersebut turut dinaiki Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, seorang ahli perniagaan dari Kedah, Datuk Robert Tan, seorang yang dikenali sebagai Ajdiana Baiziera yang dipercayai pembantu juruterbang dan pengawal peribadi yang dikenali sebagai Raskan juga terkorban dalam nahas itu.

Sebentar tadi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Jamaluddin juga Ahli Parlimen Rompin serta ahli Majlis Tertinggi Umno itu berada dalam pesawat berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang itu.

"Maklumat terperinci berhubung kejadian itu masih dikumpul.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Operasi menyelamat membabitkan tiga balai iaitu Balai Bomba Semenyih, Balai Bomba Bangi dan Balai Bomba Kajang.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang Sabtu.

"Maklumat awal yang diterima menyatakan helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain.

Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Tags / Kata Kunci: Jamaluddin Jarjis , Semenyih , helikopter

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan