Tiga Mati Dalam Kejadian Berbalas Tembak Dengan Polis

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 7:00 PM

Kesan darah jelas kelihatan di dalam kenderaan yang dinaiki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simee di Ipoh, malam Selasa.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Tiga penjenayah yang terlibat dalam beberapa kes samun mati ditembak dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan polis di Jalan Kompleks Sukan, Kampung Simee di sini, Selasa.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver Smith and Wesson .38 yang berisi tiga peluru dan sepucuk pistol jenis Sport Arms Miami separuh automatik berisi tiga butir peluru jenis 9mm dalam kereta yang dinaiki mereka.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, turut ditemui tiga bilah parang, tiga topeng muka dan lima telefon bimbit.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun lepas dengan seorang dripadanya yang berusia 21 tahun mempunyai 21 rekod jenayah lampau antaranya samun, cubaan membunuh dan mencederakan orang.

Kejadian berbalas tembak berlaku pada pukul 3.45 petang dengan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Bukit Aman, katanya.

Osman berkata, pasukan tersebut yang melakukan rondaan Ops Cantas Khas telah  mengesan sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan kereta itu supaya berhenti.

"Namun suspek bertindak menghimpit dan melanggar kereta peronda polis sehingga berlaku kejadian berbalas tembakan antara pihak polis dan penjenayah tersebut," katanya.

Beliau berkata, dengan tumpasnya kumpulan itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun yang berlaku di sekitar Ipoh dan Sungai Siput.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Kampung Simee , Osman Salleh , tembak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan