Kes Pembekalan Barangan TLDM: RM23 Juta, 240 Akaun Bank Dibeku - SPRM

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2015 10:44 PM

Jamidan Abdullah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM23 juta wang dalam simpanan dan 240 akaun bank dibeku dalam siasatan berhubung kes melibatkan pembekalan barangan dan peralatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini. 

Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata selain itu, wang tunai lebih RM200,000 turut dirampas dan 13 kereta termasuk Lamborghini disita.

"SPRM juga merampas sejumlah jam tangan berjenama mewah seperti Louis Vuitton, Patek Philippe, Tag Heuer dan Frederique Constant," katanya dalam  kenyataan di sini Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Jamidan mengesahkan sebanyak 16 orang termasuk enam anggota TLDM berpangkat Pegawai Pemerintah, Leftenan Komander, Leftenan Tentera Laut dan Laskar Kanan telah ditahan pada 9 dan 11 Mac lepas bagi membantu siasatan berkenaan.

"Kesemua 16 orang dibebaskan selepas ditahan reman antara tujuh hingga 10 hari," katanya sambil menambah bahawa siasatan kes ini bagaimanapun masih dijalankan.

Mohd Jamidan berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tags / Kata Kunci: Jamidan Abdullah , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan