Dua Mayat Tanpa Identiti Ditemui

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 7:03 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dalam longkang besar di Jalan Perusahaan Maju 6, Bukit Tengah di sini, Selasa.

Mayat lelaki itu, yang hanya berkain pelikat, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh seorang pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) ketika membersihkan longkang itu pada 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata berdasarkan keadaan mayat yang mula mereput dan berulat, polis percaya lelaki berusia 40-an itu meninggal dunia lebih 24 jam lepas.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu," katanya ketika dihubungi Selasa.

Sementara itu, mayat seorang lelaki juga dipercayai warga asing ditemui dalam kawasan semak di hadapan sebuah rumah berhampiran tapak pembinaan di Taman Tan Sai Gin di sini, Isnin.

Rusli berkata mayat itu ditemui oleh seorang pekerja kontrak yang membuat rondaan dan pemeriksaan di sekitar kawasan tapak pembinaan itu pada 4.45 petang.

"Mayat lelaki dalam keadaan terlentang itu lengkap memakai baju dan berseluar denim. Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya ditemui. 

"Tiada dokumen pengenalan ditemui," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan rakan atau anggota keluarga atau mempunyai maklumat berhubung dua kejadian itu supaya menghubung balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: mayat , George Town

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan