Polis Rekod Keterangan Dua Individu Berhubung Kenyataan Ramasamy - Berita Jenayah | mStar

Polis Rekod Keterangan Dua Individu Berhubung Kenyataan Ramasamy

Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 11:32 PM

P. Ramasamy

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis telah merekodkan keterangan daripada dua individu bagi membantu siasatan berhubung kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy yang didakwa berbaur perkauman di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata polis  menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berhubung kenyataan itu.

"Semalam seorang ahli perniagaan membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani berhubung kenyataan Timbalan Ketua Menteri II itu.

"Memang itu (kenyataan berbaur perkauman) kes lama dan sebenarnya siasatan sebelum ini telah dibuat. Bagaimanapun selepas ada satu laporan polis semalam, kami akan menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan  memanggil Ramasamy berhubung kenyataan berbaur perkauman di laman sosial itu dan melakukan siasatan.

Khalid berkata demikian susulan kenyataan lama Ramasamy berhubung tragedi 13 Mei dan semalam Khalid turut memuat naik paparan bergambar di laman Twitternya dengan kenyataan: "Kerap kali @PDRMsia ingatkan supaya hati2 keluarkan kenyataan, masih ada yg degil. KP Pg sila jalankan tugas".

Mior Faridalatrash berkata selain ahli perniagaan berkenaan, polis juga mengambil keterangan daripada seorang lagi saksi dan beberapa lagi individu akan dipanggil untuk direkodkan kenyataan.

"Selepas saksi-saksi memberi keterangan, polis akan menilai dan melihat  sama ada perlu atau tidak untuk memanggil Timbalan Ketua Menteri II itu untuk  siasatan lanjut," katanya.
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan