Mayat Dengan Kesan Terbakar Ditemui Dalam Longkang

Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 1:51 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar ditemui di dalam longkang di tepi jalan Kilometer 253 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata mayat itu ditemui 7 pagi ini, berusia lingkungan 20 hingga 30-an, dijumpai dalam keadaan terlentang dan terbakar 30 peratus iaitu hampir keseluruhan pakaiannya terbakar.

Beliau berkata mayat dibakar dalam longkang dan jarak longkang tersebut dengan bahu jalan lebih kurang dua meter dan terdapat kesan darah di bahu jalan atas rumput.

"Tiada kecederaan yang nyata dijumpai pada fizikal mayat dan terdapat beberapa kesan kulit merekah pada tangan, badan dan kaki dipercayai akibat kebakaran," katanya di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bahan yang digunakan untuk membakar adalah kotak dan plastik berwarna hitam.

"Tidak dapat dipastikan identiti mayat tersebut kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai juga tiada barang kemas atau barang berharga ditemui pada mayat," katanya.

Muhamad Zaki berkata mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan usaha mengesan identiti daripada cap jari dan ujian DNA akan dibuat.

Beliau turut meminta orang awam yang nampak kejadian tersebut atau yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Seremban di talian 06-6033222 atau talian terus 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tags / Kata Kunci: Mayat , Terbakar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan