Seorang Lagi Pekerja TNB Meninggal Dunia

Diterbitkan: Ahad, 1 Mac 2015 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang parah akibat kebakaran pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai  di sini Isnin lepas, meninggal dunia malam Sabtu.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, Norizan Abdullah, 59, meninggal di Pusat Perubatan Prince Court pada pukul 10.52 malam.

"Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Balai Islam, Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar pagi tadi sebelum dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan untuk disemadikan," katanya dalam satu kenyataan.

Allahyarham meninggalkan dua isteri dan 10 orang anak berumur antara 10 tahun dan 32 tahun.

Beliau merupakan antara tiga petugas TNB yang cedera dalam kejadian itu semasa melakukan kerja-kerja pensuisan.

Rabu lepas seorang lagi petugas iaitu Mohd Ruzairi Razali, 34, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Seorang lagi petugas Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, dilapor masih stabil dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Prince Court.

Mohd Aminuddin berkata seluruh warga TNB bersedih atas pemergian kedua-dua mereka yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada TNB.

"Pihak TNB akan terus membantu waris dan keluarga ketiga-ketiga mangsa dalam menangani segala kesusahan dan trauma yang menimpa mereka," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan