Polis Tahan Seorang Suspek Tembak Ibu, Anak Di Bukit Mertajam - Berita Jenayah | mStar

Polis Tahan Seorang Suspek Tembak Ibu, Anak Di Bukit Mertajam

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 2:19 PM

Mazlan Kesah

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian menembak dua beranak di persimpangan lampu isyarat Jalan Song Ban Keng, Bukit Mertajam dekat sini semalam, ditahan tengah malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di kawasan Bukit Mertajam pada pukul 12.15 tengah malam hasil risikan dan maklumat awam.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya tetapi kami tidak menemui senjata api yang digunakan dalam kejadian tembakan semalam," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah  bersabit kes dadah dan jenayah kekerasan.

Ditanya sama ada suspek berkemungkinan terlibat dalam kongsi gelap, beliau berkata soal siasat sedang dijalankan dan lelaki terbabit akan direman mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

Mazlan berkata, polis sedang berusaha mengenal pasti identiti tiga lagi suspek kes dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Pada kejadian pukul 12.40 tengah hari Selasa, seorang lelaki dan ibunya cedera ditembak empat lelaki yang menunggang dua motosikal ketika kereta mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat jalan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 10 das tembakan jarak dekat dilepaskan ke arah kereta jenis Subaru Impreza mangsa yang mengenai leher dan lengan wanita berusia 43 tahun dan dada kiri anaknya.

Mangsa lelaki berumur 21 tahun ditemani ibunya dikatakan baru selesai menghadiri perbicaraan kes dadah di Mahkamah Bukit Mertajam tidak jauh dari tempat kejadian.

Siasatan mendapati lelaki berkenaan pernah terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah kekerasan.

Tags / Kata Kunci: Mazlan Kesah , Bukit Mertajam , kongsi gelap

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan