Kebakaran: Ibu Tunggal Sambut Tahun Baru Cina Dengan Hiba

Diterbitkan: Khamis, 19 Februari 2015 4:46 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kedatangan Tahun Baharu Cina tahun ini disambut hiba seorang ibu tunggal apabila rumah yang didiaminya di Taman Bukit Kepayang dekat sini, musnah terbakar hari Khamis.

Yew Siew Siam, 50, yang bekerja sebagai kerani di Plaza Tol Plus Pedas-Linggi, berkata semua persiapan untuk menyambut Tahun Kambing itu musnah dalam kebakaran yang dipercayai berlaku pada pukul 4.55 pagi.

"Saya kini menumpang di rumah kakak di Pedas. Buat masa ini saya tidak terlalu memikirkan tentang perayaan ini sebaliknya risau memikirkan rumah dan kereta saya yang musnah dalam kebakaran itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Yew, yang tinggal bersendirian di rumah teres dua tingkat itu, berkata dia  terjaga daripada tidur disebabkan bau hangit dan keadaan tiba-tiba menjadi panas.

Dia kemudian turun ke bawah dan mendapati semua bahagian rumah terutama ruang tamu terbakar, menyebabkan dia naik semula ke atas untuk menyelamatkan diri melalui tingkap dan balkoni untuk ke balkoni rumah jiran bagi mendapatkan pertolongan.

"Sehingga kini, saya masih tidak tahu punca berlakunya kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya selamat walaupun rumah, kereta dan persiapan menyambut Tahun Baharu Cina musnah," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Badrol Tamam Abd Rahim berkata 12 anggota bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Api berjaya dikawal pada pukul 5.16 pagi dan dipadam sepenuhnya pada pukul 7.03 pagi. Bagaimanapun, rumah berkenaan di tingkat bawah musnah sebanyak 60 peratus dan 30 peratus di tingkat atas. Turut musnah seratus peratus sebuah kereta Honda City milik mangsa," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Tags / Kata Kunci: Tahun Baru Cina

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan